Bedilan Silam:Italdesign Scighera


Era 90-an boleh di katakan sebagai kemuncak automotif dari segi semangat berlebih-lebihan. Rekabentuk berahi penuh beremosi, letusan hypercar dengan kuasa yang tidak boleh di kawal dan tidak ketinggalan era "over-engineered" kereta-kereta German.

Salah sebuah kereta yang menarik perhatian penulis ialah Italdesign Scighera. Di zahirkan sekitar tahun 1997, penulis masih ingat ketika keluar outing dari MRSM Taiping ke pekan Taiping dalam usaha mencari majalah-majalah kereta antarabangsa, dan majalah Autocar ada memaparkan model ini, yang mana penulis menatap siang malam mengimpikan andaikata boleh memiliki kereta sebegini.

Direkabentuk oleh Italdesign, sebuah firma rekabentuk Itali yang sangat mistik. Kereta-kereta yang di zahirkan di sini selalunya cantiknya berlebih-lebihan, kecuali Proton Preve yang mungkin "di rekabentuk oleh orang Malaysia di studio Italdesign".

Di bina di atas pelantar Alfa Romeo 164, sebuah sedan yang hampir mati ketika itu (di gantikan oleh Alfa Romeo 166), ianya di ubah menjadi sebuah kereta berenjin tengah berbadan gentian. Proportion enjin tengah seterusnya di gayakan dengan "bubble roof" yang boleh di angkat seolah-olah "gullwing window". Penutup enjin pula berengsel di belakang, mantap!

Lampu depan dan belakang sangat nipis, seolah-olah zaman LED, padahal pada masa itu jangan mimpilah lampu LED masuk kereta murah macam Perodua Bezza facelift. Hidungnya sedikit ala-ala F1 macam McLaren-Mercedes SLR yang muncul 2 tahun kemudian, tapi sebenarnya lebih kepada manifestasi grill Alfa Romeo.

Dalamannya memang mencapai status kereta "one-off" dengan balutan kulit yang menyeluruh. Kerusi tebal mewah, kemasan aluminium dan penggunaan skrin memang untuk kereta konsep saja pada masa itu.

Dapatkah zaman kegemilangan yang tidak dicemari "Pedestrian Impact Regulation", "Small frontal offset crash", rim super-besar, bodykit yang ada lining getah yang percuma dengan banyak model, window visor yang mengacau aerodynamic kembali lagi? Rasanya masih ada harapan, lihat saja kereta-kereta Mazda terkini. Lain hari kita sambung lagi.

Comments